Pekikan warna- warna garang
Oleh YEO LI SHIAN
ls.yeo@kosmo.com.my
Bennylita Ramlee, Felicia Loh dan Abby Zain mempunyai pandangan masing-masing berhubung mesej seni naif. Apakah mesej yang mahu mereka sampaikan kepada khalayak?
KEJAHILAN atau naif tidak semestinya satu perkara yang buruk. Kadangkala, kejahilan mungkin membawa kita kembali menghayati saat-saat serta pengalaman yang telah lama kita lupakan.
Malah, kejahilan juga boleh membentuk daya imaginasi luar jangkaan yang spontan dan tidak rumit. Bersumberkan kepada kejahilan yang sama, tiga pelukis tempatan, Bennylita Ramlee, Felicia Loh dan Abby Zain berteduh di bawah satu pameran sulung, Zig Zag Zoo.
Pada pameran seni pertama bagi trio yang diadakan baru-baru ini, kanvas-kanvas dan dinding di Dewan Kancil, Zoo Negara diterjemahkan menjadi dunia lain.
Motif-motif binatang di darat dan di udara seperti burung hantu, kucing, kumbang-kumbang ladybird, singa dan zirafah menjadi subjek utama. Warna-warna terang dan garang pula mendominasi setiap inci subjek tersebut.
Subjek dan warna-warna yang dipilih itu seakan-akan memekik agar dunia mengalihkan pandangan kepada keunikan alam sekitar dan penghuninya.
"Kalau kita suruh orang dewasa melukis, mereka akan banyak menganalisis. Sedangkan, kanak-kanak sangat berbeza. Mereka boleh lukis apa yang hendak dilukis tanpa banyak berfikir.
"Begitu naif tetapi mesejnya sangat mudah difahami. Ini jugalah yang kami ingin sampaikan melalui pameran naif Zig Zag Zoo sulung ini," kata Abby, seorang artis visual.
BENNYLITA berpendapat melukis memberi seseorang ruang untuk meluah isi hati.
Bagi Abby, definisi seni yang naif sangat ringkas. Seringkas hati seorang kanak-kanak. Tidak memerlukan latihan formal seni lukis, kanak-kanak baginya ialah artis sebenar.
Apa yang mereka harapkan hanyalah perkara-perkara asas dalam hidup. Kasih sayang, humor, pengembaraan dan teman merupakan antara perkara-perkara asas tersebut.
Inspirasi
Dalam kenaifan hasil karya Abby, dia mengakui ada harapan menggunung yang tersirat di sebalik seninya itu.
"Tengok itu (sambil menuding ke arah lakaran kasar yang belum dicat pada dinding)...Lukisan itu ada bukit dan rumah tiga tingkat.
"Inspirasi boleh datang daripada pelbagai benda yang saya nampak di sekeliling. Sebenarnya, lukisan itu juga meluahkan hasrat saya untuk berkahwin semula," terang Abby ketika ditemui Kosmo! di pameran tersebut baru-baru ini.
Ibu tunggal beranak tiga itu berkata, keinginan berkahwin semula itu adalah naluri semula jadi setiap orang untuk mencari kebahagiaan.
FELICIA banyak memperoleh inspirasi daripada flora dan fauna.
Sentiasa menyuntik pelbagai emosi dalam karya-karyanya, Abby suka menggunakan warna-warna 'bahagia' dalam seninya. Buktinya, warna-warna terang seperti merah jambu, hijau muda, kuning dan jingga banyak mencorakkan subjek lukisannya.
Abby yang juga seorang instruktor seni dan kraf juga memberitahu, melukis tidak semata-mata untuk nikmat keseronokannya. Lebih penting, dia merasakan signifikan tanggungjawab dan peranan seseorang pelukis untuk mendidik masyarakat."Ramai orang yang berpendapat artis datang daripada dunia berbeza, jarang bergaul dengan masyarakat. Jadi, kami ingin menolak pandangan itu.
"Sebetulnya, kami ingin bersama masyarakat dan hakikatnya, masyarakat dan artis saling memerlukan," tambah Abby yang pernah bergurukan pelukis terkemuka, Raja Azhar Idris.
Melukis juga memberikan Abby perasaa muda dan kebebasan. Bersyukur dengan bakat yang dimiliki, Abby berharap hasil karyanya akan terus mendorong orang mencuba sesuatu yang baru.
MELUKIS memberi Abby perasaan muda dan kebebasan.
Seperti Abby, jiwa pelukis visual, Felicia Loh, 34, juga sentiasa muda. Banyak memperoleh inspirasi daripada flora dan fauna, bekas jurutera sistem itu memahami betapa pentingnya seni kepada masyarakat orang kurang upaya (OKU). Lebih-lebih lagi bagi golongan kanak-kanak OKU.
"Apabila pelajar datang ke kelas lukisan saya, bukan semua hadir dengan mood yang baik. Ada emosi yang kurang baik, saya ingin menceriakan mereka semula. Jadi, saya ajak mereka melukis," katanya yang memiliki barisan pengumpul karyanya termasuk Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Felicia banyak menghabiskan masa dengan golongan kanak-kanak OKU berusia antara tiga tahun hingga 17 tahun.
Seni bukan sahaja terapeutik untuk golongan kanak-kanak malah orang dewasa sepertinya. Dalam proses pengajaran itu, Felicia turut memperkukuhkan komitmennya terhadap seni.
Penuh berfalsafah dalam tutur katanya, dia memberitahu, subjek si gajah dalam lukisannya mewakili dinding penyokongnya. Si zirafah pula ibarat tangga untuk dia mengecapi matlamat dan visinya. Sang rama-rama menggambarkan isi hatinya yang lembut kerana melihat segala yang positif dalam kehidupan.
Kehidupan
Seperti metafora dalam lukisan Felicia, pameran Zig Zag Zoo itu sendiri mewakili beberapa aspek penting dalam kehidupan. Segalanya berkisar tentang penerokaan, keseronokan, pengembaraan, tanggungjawab dan kasih sayang sewaktu menikmati perjalanan di atas jalan berbentuk zig zag di dalam zoo.
Seni naif yang diketengahkan itu adalah satu kelompok seni yang merangkumi subjek dan teknik lukisan seringkas hasil karya seorang kanak-kanak. Ia sebenarnya juga merujuk kepada artis-artis yang tidak menerima latihan formal daripada mana-mana akademi pendidikan.
Kualiti seni naif menampilkan keadaan corak dan warna sementah yang mungkin tanpa mempedulikan logik di sebalik karya tersebut. Malah, jangan terkejut, karya-karya seni naif yang disifatkan orang sebagai eksklusif pada suatu ketika dahulu.
Garisan-garisan merah dan hitam seperti dalam karya Bennnylita adalah satu lagi keunikan lukisan seni naif. Bakat seni yang tertanam dalam diri Bennylita sejak dahulu lagi terserlah semula jadi dengan subjek burung hantu yang sering menghiasi kanvas-kanvasnya seninya.
"Daripada pameran ini, kami ingin mendidik orang ramai bahawa tiada satu teknik yang tepat dan betul dalam melukis," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebabnya kata Bennylita, apa yang penting adalah pelukis baik yang amatur atau profesional diberi peluang meluahkan segala isi hati.
Biarpun hanya sekadar satu titik atau lakaran berasaskan garisan, latihan berulang kali boleh memperkukuhkan sesuatu teknik tersebut. Pendek kata, seni naif adalah untuk semua orang.
Tambahnya lebih mustahak, pameran itu harus dilihat sebagai satu amaran bahawa setiap benda ada hak untuk hidup di dunia ini.
INILAH antara karya Bennylita yang memperoleh inspirasi daripada burung hantu
Pada pameran yang telah berlangsung sekitar lima hari, beberapa lukisan hasil usahasama trio tersebut telah ditempah. Sebanyak 15 peratus daripada jumlah hasil jualan karya-karya artis itu akan disumbang kepada Persatuan Zoologikal Malaysia dalam memberi sokongan kepada zoo tersebut.
Sementara itu pensyarah Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Profesor Dr. Zakaria Ali menyifatkan gaya lukisan ketiga-tiga artis menunjukkan satu perkara penting dalam kehidupan."Seperti juga seni, keselamatan dan perlindungan adalah dua perkara asas yang layak dimiliki oleh semua benda hidup di bumi ini," katanya yang dipetik daripada kata-kata aluan risalah Zig Zag Zoo.